Dari Stadium Astro
Perenang kebangsaan, Khiew Hoe Yean dan Alma Dahl, dipilih sebagai atlet terbaik lelaki dan perempuan negara dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2019 selepas gabungan mereka menyumbangkan sembilan pingat emas, separuh daripada jumlah keseluruhan pingat yang diraih Malaysia dalam temasya edisi ke-11 itu.
Hoe Yean mencuri tumpuan apabila muncul atlet Malaysia paling berjaya dengan tujuh emas dan satu perak walaupun aksi di Semarang, Indonesia merupakan penampilan pertamanya dalam temasya itu.
Situasi itu membuktikan bahawa perenang berusia 17 tahun itu kini di landasan tepat untuk mencipta kejutan di pentas Kejohanan Remaja Dunia di Hungary, bulan depan.
"Ini di luar jangkaan saya. Tujuh emas memang terlalu tinggi. Sasaran saya hanya tiga emas. Saya harap ia dapat diteruskan, malah lebih baik lagi," katanya.
Sementara itu, Alma, 14 tahun, pula mencuri tumpuan kerana menyumbang dua emas dan tiga gangsa walaupun tidak memiliki pasport Malaysia.
Perenang kelahiran Denmark itu dibenarkan mewakili Malaysia atas faktor peraturan ASG, di mana syarat utama ialah seseorang atlet itu perlu bersekolah di negara terbabit.
"Saya gembira dan bangga mewakili Malaysia. Saya suka untuk melakukannya lagi di masa akan datang. Saya bukan pemegang pasport Malaysia, jadi semestinya ia akan mengekang hasrat saya," ujarnya.
http://www.stadiumastro.com/sukan/sukan-lain/artikel/asg-hoe-yean-alma-atlet-terbaik-kebangsaan/142932